:
PENGENALAN


PENGENALAN & SEJARAH PENUBUHAN

Sebelum penukaran nama Maahad Tahfiz Nur Syafaat, nama Akademi Tahfiz Darul Ameer telah digunakan atau dikenali sebagai ATDA. Penubuhan Madrasah ini bermula dengan inspirasi untuk melahirkan Generasi Al-Quran dengan menerapkan ilmu serta akhlak berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Akademi Tahfiz Darul Ameer adalah gagasan idea serta pemegang amanah bersama oleh Encik Muhamad Hisham Bin Hamzah dan Puan Ummal Abibah Binti Zainal. Bermula daripada membuka sebuah Pusat Mengaji Al Quran selama lebih tiga(3) tahun di Kulai dan berbekalkan pengalaman dan tarbiyah serta semangat yang tinggi untuk mencari rahmat Allah SWT dengan berjihad, maka kami berdua berhasrat menawarkan khidmat jariah untuk ummah melalui pembangunan modal insan dengan membangun, mengurus dan mengajar sebuah sekolah yang bernama Akademi Tahfiz Darul Ameer. Bagi mengukuh kualiti dan memantapkan perjalanan sekolah tahfiz ini, maka Akademi Tahfiz Darul Ameer dipandu oleh penasihat dan mudir serta ustaz-ustaz yang terdiri dari mereka yang memiliki kepelbagaian kepakaran dan pengalaman.

ATDA bermula di cawangan pertamanya di Kulai Johor. Kami mengambil pelajar-pelajar miskin, anak-anak yatim, yatim piatu tanpa pembayaran. Dengan membuka pengambilan pada Oktober 2016, ramai pelajar-pelajar yang bermula daripada tidak kenal huruf sekarang telah pun lancar membaca Al Quran dan ada pelajar yang telah berjaya menghafal sehingga 20 Juzuk. Dengan semangat kejayaan ini serta dorongan para penaja dan penyumbang, kini lebih ramai pelajar mula diambil dan cawangan baru mula dibuka bagi memberi peluang kepada ramai lagi anak-anak tempatan.

Di ATDA kami mengamalkan sistem pembelajaran tersendiri iaitu dengan bermula kelas Ibtida'i bagi yang belum lancar Al-Quran selama 6 bulan ke 1 tahun seterusnya barulah akan diserap ke kelas Tahfiz. Kami amat mementingkan kualiti hafalan dari segi bacaan, tajwid, tulisan dan sebagainya.

ATDA kini sedang beroperasi di Wisma Al Firdaus Lot 1131, Batu 45, Jalan Johor, 86200 Simpang Renggam, Kluang, Johor Darul Takzim dengan jumlah pelajar seramai 52 orang pelajar lelaki dan 20 orang guru dan kakitangan. Sehingga pada Januari 2020, ATDA telah menukar nama kepada Maahad Tahfiz Nur Syafaat dan alhamdulillah telah mendapat status sijil pendaftaran penuh di JAKIM atas no pendaftaran MTS/KLG/017. Penukaran nama daripada Akademi Tahfiz Darul Ameer kepada Maahad Tahfiz Nur Syafaat adalah kerana terdapat institusi lain yang menggunakan nama yang sama seperti Akademi Tahfiz Darul Ameer dan merupakan arahan dari pihak JAKIM untuk menukar nama ATDA kepada nama yang lain.

Di sini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para dermawan sedia ada yang tidak putus-putus menyumbang untuk kelancaran pembangunan sehingga wujud rangkaian Madrasah Maahad Tahfiz Nur Syafaat (MTNS). Kami dengan penuh harapan memohon para penderma tidak kira individu atau syarikat boleh bersama-sama menyumbang kepada kami bagi mencapai hasrat kami untuk melahirkan Generasi Al-Quran yang berketerampilan dan istiqamah dalam landasan AL-Quran dan As-Sunnah. InsyaAllah.